Phillis Wheatley, seorang penyair Afrika-Amerika pertama yang karyanya diterbitkan, dan menggunakan tema-tema alkitabiah untuk meyakinkan para pengikut Yesus untuk menghapuskan perhambaan. Wheatley dilahirkan sekitar tahun 1753 di Afrika barat. Dia telah dijual kepada seorang pedagang hamba ketika baru berusia tujuh tahun. Semasa di sekolah, dia dengan cepat menyedari dirinya ialah seorang pelajar yang luar biasa. Akhirnya dia memperoleh kebebasan pada tahun 1773. Dalam puisi dan surat-suratnya, Wheatley mendorong para pembacanya menerima kebenaran Kitab Suci bahawa semua manusia adalah setara. Dia menulis, “Di lubuk setiap hati manusia, Tuhan telah menanamkan satu Prinsip, yang kita panggil Cinta akan Kebebasan; prinsip ini tidak dapat menerima Penindasan, dan merindukan Pembebasan; dan … Prinsip yang sama juga hidup dalam diri kita.”
Kesetaraan di hadapan Tuhan adalah kebenaran yang ditekankan oleh Paulus ketika dia menulis, “Tiadalah lagi orang Yahudi atau orang Yunani, hamba atau orang merdeka, lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Kristus Yesus” (Galatia 3:28). Ini kerana kita “semua telah menjadi anak Allah melalui iman dalam Kristus Yesus” (ayat 26), perbezaan seperti bangsa, etnik, jantina, atau status sosial tidak sepatutnya membawa diskriminasi ke dalam gereja.
Walaupun setiap kita menerima kasih Tuhan secara setara, kita masih bergelut untuk hidup mengikut prinsip ini. Namun Kitab Suci mengajar bahawa umat yang berbeza-beza tetapi bersatu dalam iman kepada Kristus ialah gambaran hati Tuhan yang terbaik dan merupakan rancangan-Nya supaya setiap kita hidup dalam keabadian. Realiti itu boleh membantu kita meraikan kepelbagaian dalam komuniti iman kita sekarang.