Sebuah filem perang pada tahun 1957 yang bertajuk The Bridge on the River Kwai (Jambatan di Sungai Kwai) begitu popular sehingga peminat berpusu-pusu ke Kanchanaburi di Thailand untuk mencari jambatan besi yang sebenar. Mereka menemukan jambatan itu, tetapi ia bukan di Sungai Kwai—filem itu tersalah nama sungai! Bagaimanapun, tidak lama kemudian, bahagian Sungai Mae Klong itu dinamakan semula sebagai Kwae Yai (Kwai) supaya ia sejajar dengan jangkaan para peminat.

Yesus tidak pernah membiarkan jangkaan orang lain membuat-Nya goyah dalam misi yang diberikan Tuhan kepada-Nya. Orang ramai berpusu-pusu untuk melihat Dia kerana mereka telah mendengar tentang mukjizat-mukjizat yang telah dilakukan-Nya (Yohanes 6:2). Apabila mereka menemukan Dia dan percaya bahawa Dialah Mesias yang dijanjikan, mereka mahu Dia menjadi pemimpin ketenteraan supaya Dia menyelamatkan mereka daripada pemerintahan Rom. Yohanes berkata, “Yesus tahu bahawa mereka hendak datang dan memaksa-Nya menjadi raja. Oleh itu, Dia beredar sekali lagi ke bukit seorang diri” (ayat 15).

Walaupun Yesus menghadapi tekanan untuk menyelamatkan orang menurut jangkaan orang ramai, Kristus tetap teguh mengikut rancangan Tuhan untuk menyelamatkan mereka dengan cara yang mereka perlu diselamatkan (Kolose 1:13)—bukan daripada masalah duniawi tetapi daripada “hukum dosa dan kematian” (Roma 8:2).

Kehendak Yesus yang teguh untuk menyediakan apa yang kita perlukan merupakan sebabnya kita boleh mempercayai Dia dalam semua keadaan. Apabila jalan Tuhan nampaknya tidak selaras dengan jangkaan kita, kita boleh yakin bahawa rancangan-Nya sentiasa lebih baik—kerana Dia tidak pernah goyah dalam kehendak-Nya untuk menyelamatkan kita.