“Rubah kecil yang merosakkan pokok anggur,” nenek saya pernah berkata. Kemudian ibu saya berkata begitu juga. Sekarang saya pula mengatakannya kepada anak-anak saya sendiri. Bagaimanapun, apakah maksudnya berwaspada terhadap “rubah kecil”?
Selepas menanam pokok anggur, beberapa tahun diperlukan sebelum ia berbuah. Pokok ini memerlukan banyak kesabaran, penjagaan, penyiraman, pemangkasan, dan perlindungan. Walaupun kecil, rubah boleh menyebabkan kerosakan besar dengan memusnahkan akar, memakan buah anggur atau mengunyah tangkainya.
Dalam kisah cinta puitis daripada Kidung Agung, Salomo memberikan amaran ini, “Tangkaplah untuk kami segala rubah itu, rubah yang kecil-kecil, yang merosakkan kebun-kebun anggur” (2:15). Sesetengah cendekiawan Alkitab percaya bahawa ini merujuk kepada masalah atau tingkah laku yang kelihatan kecil, tetapi dapat menjejaskan hubungan antara lelaki dan perempuan muda tersebut jika dibiarkan.
Begitu juga dalam perjalanan rohani kita, perkara-perkara kecil seperti kepahitan (Ibrani 12:15), “kata-kata yang kesat” (Efesus 4:29), atau pengaruh yang berbahaya daripada orang lain (1 Korintus 15:33) dapat menyelinap ke dalam hidup kita dan tidak mudah kelihatan.
Nenek saya faham bahawa perkara-perkara kecil dapat membawa mudarat besar, dan kebijaksanaannya memberikan impak besar kepada cucu-cucunya. Semasa kita meluangkan masa dalam doa dan membaca Alkitab, Roh Kudus akan menolong kita “menangkap rubah kecil” itu—godaan atau tabiat yang mungkin merosakkan hubungan kita dengan orang lain dan hidup kita dengan Kristus.