Manuel sudah lewat ke gereja dan tersangkut di lampu merah. Semasa dia menunggu dengan tidak sabar-sabar lagi, anak perempuannya nampak seorang pemandu wanita yang bersusah payah cuba membaiki tayar. “Kan ayah cekap menukar tayar,” katanya. “Ayah patut tolong dia.” Manuel memang sudah sangat lewat, tetapi dia mengetahui inilah aturan Tuhan. Dia pun berhenti untuk membantu pemandu tersebut, malah sempat mengajaknya ke gereja.
Paulus dan Silas menghadapi gangguan dalam Kisah Para Rasul fasal 16. Mereka telah bertemu dengan seorang hamba perempuan yang dirasuk roh penilik yang asyik berseru (ayat 17). Selama beberapa hari, Paulus tidak mengendahkannya. Akhirnya, dia menjadi terlalu gusar dan berkata kepada roh itu, “Dengan nama Yesus Kristus aku perintahkan kamu keluar daripadanya!” (ayat 18).
Paulus telah membuat pilihan yang jelas dan dengan niat untuk melayani orang lain walaupun ia menyusahkan. Apabila dia membebaskan hamba perempuan itu, keadaannya hanya menjadi lebih rumit. Majikan-majikan hamba perempuan itu kehilangan sumber keuntungan, jadi “mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret mereka ke hadapan pihak berkuasa di medan kota” (ayat 19). Kemudian mereka disebat dan dimasukkan ke dalam penjara tanpa dibicarakan (ayat 22-24).
Melayani Kristus ada pengorbanannya. Yesus memberitahu murid-murid-Nya bahawa mereka harus memikul salib mereka dan mengikut Dia (Matius 10:38). Inilah jalan Yesus: kita akan diganggu dan kadang-kadang menanggung penderitaan, seperti Penyelamat kita. Dia mengajak kita untuk menerima gangguan yang tidak dijangka itu. Bagaimanakah anda akan bertindak balas apabila gangguan itu datang?