“Saya tidak tahu di manakah saya pada hari ini jika ibu saya tidak mendoakan saya. Saya rasa malah saya tidak akan hidup,” kata rakan saya Rahim. Dia adalah bekas penagih yang pernah dipenjarakan kerana pengedaran dadah. Suatu hari, sambil kami minum kopi, dia berkongsi tentang doa ibunya yang telah membuat perbezaan dalam hidupnya. “Walaupun saya sudah amat mengecewakannya, dia tetap menyayangi saya dengan doanya. Saya menghadapi banyak masalah, tetapi jika dia tidak mendoakan saya, keadaan saya akan menjadi lebih teruk.”
Kisah Perjanjian Lama tentang Samuel ada menceritakan satu kisah tentang seseorang yang menunjukkan kesetiaannya kepada Tuhan dan orang lain melalui doa. Pada hari Saul ditabalkan sebagai raja di Gilgal, nabi Samuel juga berasa kecewa. Ini kerana rakyat telah meletakkan kepercayaan dan harapan mereka untuk masa depan dalam pemerintahan duniawi dan bukannya kepada Tuhan.
Semasa orang ramai sedang berkumpul, Tuhan menunjukkan kemurkaan-Nya dengan menghantar ribut yang tidak patut berlaku pada musim itu sehingga seluruh bangasa sangat takut serta menyesali keputusan mereka (1 Samuel 12:16-18). Apabila mereka merayu kepada Samuel untuk memohon kepada Tuhan, dia menjawab, “Janganlah aku sekali-kali berdosa terhadap TUHAN dengan berhenti mendoakan kamu” (ayat 23).
Respons Samuel mengingatkan kita bahawa berdoa untuk orang lain ialah cara kita mengutamakan Tuhan dalam hati dan kehidupan seharian. Apabila kita mengasihi orang lain dengan berdoa untuk mereka, kita membuka pintu untuk menyaksikan apa yang hanya boleh dilakukan oleh Tuhan. Kita memang tidak mahu terlepas peluang itu.