Dengan menunjukkan gerak isyarat terakhir, pengadil mengumumkan ahli gusti Kennedy Blades menjadi Juara Olimpik 2024. Dia pun merapatkan tapak tangannya, mengangkat tangan, mendongak ke langit, dan memuji Tuhan. Seorang wartawan bertanya tentang peningkatan prestasinya sejak tiga tahun yang lalu. Atlet elit itu tidak menyebut pun tentang latihan fizikalnya. “Saya hanya menjadi sangat rapat dengan Yesus,” katanya. Dengan mengaku Kristus sebagai Raja, dia mengisytiharkan bahawa Dia akan datang lagi dan menggalakkan orang lain percaya kepada-Nya. “Yesus,” katanya. “Itulah sebab utama mengapa saya dapat mencapai perkara yang begitu besar.” Dalam temu bual lain, dia dengan setia mengisytiharkan bahawa Yesus adalah segala-gala baginya dan sumber bagi segala yang baik dalam hidupnya.
Keghairahan untuk menjalani kehidupan yang berpusatkan pada Tuhan ini mencerminkan pengakuan Daud dalam Mazmur 63. Dia mengakui kerinduan yang mendesak terhadap Penciptanya, “Jiwaku dahaga kepada-Mu, jasadku merindui-Mu” (ayat 1). Daud telah “melihat” Tuhan dan “melihat” “kekuasaan” dan “kemuliaan”-Nya (ayat 2). Dia mengisytiharkan kasih setia Tuhan “lebih bernilai daripada nyawa” (ayat 3). Kemudian dia berdoa: “Kerana Engkau telah menolongku, maka di bawah naungan sayap-Mu aku akan bergembira, jiwaku mengikut jejak-Mu dari dekat; tangan kanan-Mu memberiku kekuatan” (ayat 7-8). Jelasnya Tuhan ialah segala-galanya bagi Daud.
Kehidupan kita juga boleh menjadi contoh untuk membawa orang lain membina hubungan dengan Tuhandan menerima penyelamatan-Nya. Semua ini hanya akan terjadi apabila Yesus menjadi pusat hidup kita.