Pada tahun 1890, Eugene Schieffelin, seorang pakar burung amatur telah memutuskan untuk melepaskan enam puluh ekor burung Perling Eropah ke kawasan Central Park di Bandaraya New York. Walaupun sebelum ini ada orang lain pernah memperkenalkan spesies burung ini ke Amerika, tetapi yang dilepaskan oleh Schielffelin adalah yang pertama yang berjaya membiak dan direkodkan secara rasmi. Kini, terdapat kira-kira 85 juta ekor burung yang berterbangan di seluruh benua itu. Malangnya, burung ini bersifat agresif dan menyingkirkan populasi burung yang asal di benua itu, menyebarkan penyakit kepada lembu, dan dianggarkan telah menyebabkan kerosakan sebanyak berbilion-bilion ringgit setiap tahun. Schieffelin tidak menyangkakan kerosakan yang akan ditimbulkan oleh perbuatannya.

Pilihan yang kita buat boleh membawa akibat yang besar. Walaupun telah diberi amaran, Adam dan Hawa tidak dapat membayangkan akibat buruk terhadap semua ciptaan hasil daripada pilihan mereka. Tuhan telah memberitahu mereka bahawa mereka “bebas memakan daripada kesemua pokok di dalam taman ini” (Kejadian 2:16), kecuali satu, pokok yang berada di “di tengah-tengah taman” (3:3). Tetapi disebabkan tertipu oleh ular yang licik itu, “[Hawa] mengambil sebahagian dan memakannya” (ayat 6). Kemudian Adam juga turut memilih untuk memakan buah yang dilarang oleh Tuhan. Oleh sebab satu pilihan, berlakunya begitu banyak kehancuran, kesedihan mendalam, dan keruntuhan hidup seseorang.

Setiap kali kita mengabaikan kata-kata Tuhan dan memilih jalan lain, kita mengundang malapetaka. Pilihan kita seolah-olah tidak ada apa-apa atau hanya memberi kesan kepada kita sendiri sahaja; walau bagaimanapun, pemahaman kita yang sempit atau keinginan yang bersifat sementara dapat membawa kita ke dalam dunia yang penuh kesusahan. Bagaimanapun, memilih jalan Tuhan akan membawa kita memiliki kehidupan yang berlimpah-limpah.