Pada tahun 2011, Karey Packard dan anak perempuannya sedang mengemas untuk berpindah ke rumah baharu. Tiba-tiba, Karey rebah, dan jantungnya berhenti. Doktor berjaya menyedarkan Karey semula, tetapi keadaannya bertambah buruk di sepanjang malam. Suaminya, Craig, diberitahu supaya menghubungi keluarga untuk mengucapkan selamat tinggal terakhir. Sekeluarga Craig berkumpul dan berdoa, yang Craig menyebutnya sebagai “doa yang terdesak.”
Berapa kerap kita berdoa dengan terdesak semasa menghadapi krisis? Mary dan Marta melakukannya. Mereka menghantar pesanan yang terdesak kepada Yesus: saudara mereka Lazarus, “dia yang Kaukasihi,” sedang sakit teruk (Yohanes 11:3). Apabila Kristus akhirnya tiba, Lazarus telah pun mati selama empat hari. Marta, dalam kesedihan, berkata kepada Yesus: “kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!” (ayat 21). Dia tahu Kristus boleh menyembuhkan orang sakit tetapi tidak dapat membayangkan jika kuasa-Nya boleh mengatasi maut. Sudah tentunya Yesus membangkitkan Lazarus, yang menggambarkan tentang kebangkitan-Nya sendiri beberapa minggu kemudian.
Bacaan denyutan jantung Karey di kaca monitor menunjukkan jantungnya berhenti sekali lagi, namun secara ajaib Tuhan menghidupkannya kembali. Dalam kisah kedua-dua Karey dan Lazarus, begitu mudahnya kita terlepas maksud di sebalik kejadian ini: Tuhan mempunyai tujuan yang kita tidak tahu. Dia tidak menyembuhkan semua orang atau menghidupkan semua orang mati. Tetapi Dia memberi kita jaminan yang tidak terhingga: “Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati” (ayat 25). Sebagai orang percaya, apa sahaja yang berlaku, kita tahu kita akan bersama Yesus. Mungkin itu membuatkan doa-doa kita yang terdesak telah sedikit sebanyak berubah menjadi kurang terdesak.