Kami mempunyai seekor anak anjing baharu yang bernama Winston. Anak anjing ini suka menggigit, tidur, makan dan melakukan beberapa perkara lain. Oh, dan suka menggali. Winston tidak menggali sambil lewa, malah sampai tahap membuat “terowong”. Seolah-olah mahu melarikan diri dari penjara. Ia seekor anak anjing yang sukar dikawal, penuh tenaga, dan kotor.

Mengapa anjing itu balik-balik dan berhabis-habisan menggali? Saya tertanya-tanya. Kemudian saya sedar bahawa saya juga seorang penggali. Saya cenderung untuk “menggali” bermacam jenis perkara yang saya harap akan menggembirakan saya. Bukan selalunya perkara buruk yang saya gali itu. Tetapi apabila saya tertumpu untuk mencari kepuasan dalam sesuatu selain daripada Tuhan, saya menjadi seorang penggali. Menggali maksud kehidupan selain daripada Tuhan cuma membuatkan saya berlumuran kotoran dan mahu lebih banyak.

Yeremia menegur bangsa Israel kerana mereka menjadi seperti penggali: “Mereka telah meninggalkan Aku,” Tuhan berfirman melalui nabi, “dan telah menggali perigi mereka sendiri, perigi bocor yang tidak dapat memuat air” (Yeremia 2:13). Tuhan mendisiplinkan umat-Nya kerana lalai dalam mencari Dia. Mereka telah menggali telaga mereka sendiri dalam usaha untuk menghilangkan dahaga yang serius. Tetapi Tuhan mengingatkan mereka bahawa Dia sahaja adalah “mata air hidup” (ayat 13). Dalam Yohanes 4, Yesus menawarkan air hidup ini kepada wanita di tepi perigi, yang juga telah melakukan ”penggalian” di tempat lain (ayat 10-26).

Setiap kita kadangkala menjadi penggali. Tetapi Tuhan dengan penuh kasih menawarkan untuk menggantikan penggalian kita yang sia-sia dengan kepuasan sejati melalui air-Nya (yakni firman-Nya), yang satu-satunya dapat memuaskan dahaga terdalam jiwa kita.