Yesus, bagaimanakah Engkau berdoa untukku? Saya tidak pernah terfikir untuk bertanya soalan itu sehinggalah rakan saya Lou berkongsi pengalamannya. Suatu ketika dia berhadapan dengan situasi yang memerlukan banyak kebijaksanaan dan kekuatan, maka dia membuat seruan ini kepada Tuhan. Dengan mendengar dia menyuarakan soalan yang patut diberi perhatian ini dalam doanya, saya memperoleh dimensi baru dalam pemahaman dan amalan tentang doa.
Dalam Lukas 22, tiada misteri tentang cara Yesus berdoa untuk Simon Petrus: “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mengemukakan tuntutan untuk menampi kamu seperti gandum. Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah” (ayat 31-32). Ketika Petrus mengalami ujian iman yang sangat berat, imannya hampir hilang. Tetapi kerana kasih kurnia Kristus, imannya tidak goyah.
Kitab Kisah Para Rasul memberitahu kita bagaimana doa Yesus untuk Petrus—murid-Nya yang bersemangat tetapi lemah—telah dijawab. Tuhan menggunakan dia untuk memberitakan berita baik tentang Kristus kepada orang Yahudi dan bukan Yahudi, dan pelayanan doa Yesus belum berakhir. Paulus mengingatkan kita bahawa “Kristus Yesus, yang telah mati, bahkan lebih daripada itu, yang telah dibangkitkan, berada di sebelah kanan Allah dan juga berdoa syafaat bagi pihak kita” (Roma 8:34). Apabila anda mendapati diri anda berada dalam kesukaran atau godaan, ingatlah bahawa Yesus, yang berdoa untuk para pengikut-Nya, tetap berdoa untuk semua orang yang percaya kepada-Nya melalui perkhabaran mereka (lihat Yohanes 17:13-20).