“Kamu membesar di sini kah?” Sukar bagi saya untuk menjawab soalan doktor gigi saya kerana alat pembersih gigi masih berada di dalam mulut saya. Dia menjelaskan bahawa pada tahun 1945, bandar kami menjadi bandar pertama di dunia yang menambahkan fluorida ke dalam air minuman awam. Rawatan ini dipercayai dapat mencegah kerosakan gigi, dan tidak memerlukan banyak—hanya 0.7 miligram fluorida bagi setiap liter air. Bagi doktor gigi profesional yang terlatih, cara ini mendatangkan kesan positif yang ketara. Tetapi saya sendiri tidak tahu bahawa saya telah meminum air ini sepanjang hidup saya!
Apa yang kita makan setiap hari boleh memberi kesan kepada kita dari masa ke masa. Ini bukan sahaja merujuk kepada makanan dan minuman, tetapi juga hiburan, rakan-rakan dan mesej daripada media sosial. Rasul Paulus memberi amaran, “Janganlah ikut cara dunia, sebaliknya berubahlah menurut pembaharuan fikiranmu” (Roma 12:2). Walaupun Roh Kudus membentuk para pengikut Yesus untuk menjadi lebih seperti-Nya, proses ini memakan masa seumur hidup. Tabiat kita mungkin boleh menjadi bantuan atau halangan bagi pekerjaan-Nya. Bukannya selalu mudah untuk mengenal pasti apa yang kita minum, tetapi kita boleh meminta Tuhan yang kaya dengan “hikmat dan pengetahuan” untuk menunjukkan kepada kita (11:33, TB). Hikmat dan kebijaksanaan membantu kita “memastikan apa kehendak Allah” (12:2), sambil “nilailah [kita] sewajarnya” (ayat 3).
Apa sahaja yang mungkin diperintahkan-Nya untuk kita tambah atau buang daripada kehidupan seharian kita, ia pasti berbaloi. “Segala-galanya daripada Dia, melalui Dia dan kepada Dia” (11:36). Dialah yang Maha Tahu.