Selepas saya menjadi ahli lembaga pemegang amanah sebuah seminari, presiden yang telah lama berkhidmat mengumumkan persaraannya. Maka saya dan beberapa orang ahli lembaga lain ditugaskan untuk mencari presiden baharu. Kami bersama-sama menyenaraikan satu senarai kelayakan yang begitu mencabar. Bagaimanakah kami boleh menemui seseorang yang boleh melaksanakan tanggungjawab dan peranan yang sedemikian penting?
Perkara yang sama terlintas di fikiran saya ketika membaca spesifikasi Tuhan untuk kaki pelita dalam Khemah Suci: diperbuat daripada emas tulen, dengan hiasan berupa kuncup bunga badam serta enam cabang (Keluaran 25:31-36). Laman dalam khemah itu pula “hendaklah dipagari hamparan tabir sepanjang seratus hasta daripada kain linen halus yang dipintal, yang disangga oleh dua puluh batang tiang daripada gangsa dengan dua puluh lesung pasak daripada gangsa juga” (27:9-10). Siapakah mampu melaksanakan tugas-tugas seperti ini?
Tuhan menjawab, “Aku telah memanggil Bezaleel … Aku memenuhi dia dengan Roh Allah, dengan kebijaksanaan, pengertian, pengetahuan dan segala jenis kemahiran bertukang … mengerjakan segala jenis keahlian dalam pelbagai bidang kerja” (31:2-5). Tuhan juga berkata, “Aku telah mengurniakan kebijaksanaan supaya mereka membuat semua yang telah Kuperintahkan kepadamu” (ayat 6).
Kepada siapa kita boleh mendapatkan pentunjuk untuk mencari calon yang boleh mengisi peranan penting, sama ada peranan seorang pemimpin berpangkat tinggi, sukarelawan di gereja, atau untuk menganjurkan satu acara? Kita hanya harus berpaling kepada Tuhan yang memanggil dan melengkapi umat-Nya. Tuhan menetapkan satu pelan yang mulia untuk rumah ibadat-Nya. Kemudian, Dia memilih dan memperlengkapi umat-Nya untuk melaksanakannya. Tuhan akan menggunakan umat-Nya untuk melaksanakan rancangan-Nya.