Apabila penglihatan Diana mula merosot, dia menjadi bimbang. Dia juga mengalami kesukaran untuk berfikir dan sering mengulangi kata-kata sendiri. Gejala-gejala tersebut menyebabkan para doktor percaya bahawa masalah bukan pada matanya, tetapi sesuatu dalam otaknya. Mereka kemudian mendapati bahawa terdapat ketumbuhan besar dalam otaknya yang perlu dibuang. Diana risau bahawa pembedahan itu akan menjejaskan kemampuannya untuk menyanyi—sesuatu yang sangat diminatinya dan dikongsikan bersama keluarganya. Maka, pakar bedahnya melakukan sesuatu yang luar biasa dengan mengekalkan Diana dalam keadaan sedar semasa dalam pembedahan yang tidak menyakitkan, malah minta Diana menyanyi sepanjang pembedahan agar dia tahu bahagian saraf otak yang berkaitan tidak terjejas. Malah, mereka berdua merakamkan lagu duet semasa pembedahan itu.

Seperti Diana, Raja Daud—yang menulis kebanyakan mazmur dalam Alkitab—sangat bersemangat dalam nyanyian. Dia sering menyanyi kepada Tuhan dalam kesedihan dan kegembiraan. Apabila dia diselamatkan daripada musuh-musuhnya, dia mengakui bahawa, “Dialah yang telah membebaskan aku daripada musuh-musuhku” (2 Samuel 22:49). Kerana segala perbuatan baik Tuhan, Daud mengisytiharkan, “Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN, di antara bangsa-bangsa; aku akan menyanyikan pujian kepada nama-Mu” (ayat 50).

Tuhan terus bekerja di dunia ini dan dalam setiap kehidupan kita, menyelamatkan kita daripada penyakit yang menimpa semua orang: dosa. Seperti Daud, semoga kita juga menyanyikan pujian kepada Tuhan dengan sepenuh hati atas segala yang telah dilakukan-Nya.