Apabila Hannah, anak perempuan Royston, berada dalam koma akibat pendarahan otak, dia dan keluarganya terus-menerus berdoa kepada Tuhan. Selama berbulan-bulan menunggu, mereka bergantung pada satu sama lain—dan kepada Tuhan. Iman keluarga ini dibangkitkan, seperti dikongsikan oleh Royston: “Saya tidak pernah merasa Tuhan begitu dekat.” Sepanjang tempoh kesukaran itu, mereka mengalami “pembaharuan iman untuk terus berdoa” seperti balu di dalam Lukas 18.

Royston merujuk kepada kisah yang diceritakan oleh Yesus tentang seorang balu yang terus-menerus menuntut keadilan daripada seorang hakim, “bahawa mereka harus sentiasa berdoa dan tidak berputus asa” (Lukas 18:1). Wanita ini merayu berulang-kali kepada hakim itu, yang akhirnya mengalah kerana keletihan. Yesus mengkontraskan hakim yang tidak berbelas kasihan itu dengan Tuhan lalu berkata, “Tidakkah Allah akan membela umat pilihan-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam?” (ayat 7).

Dalam perumpamaan tersebut, hakim yang tidak adil itu akhirnya menegakkan keadilan bagi balu, ini membuat ahli keluarga Royston berasa terdorong untuk mendoakan Hannah, memohon pertolongan dan kelegaan daripada Tuhan yang adil dan penuh kasih. Mereka mendapati diri mereka semakin dekat dengan Tuhan: “Apabila kami mencari Tuhan … seolah-olah kami sendiri yang terjaga dari tidur.” Selepas berbulan-bulan kemudian, Hannah akhirnya sedar daripada koma dan beransur pulih.

Apabila kita mendekatkan diri kepada Tuhan, Dia mendengar permohonan kita dan menjawab menurut kasih kurnia-Nya. Dia mengundang kita untuk berseru kepada-Nya siang atau malam.