Kami telah memandu selama lima belas jam sehingga lewat malam. Tiba-tiba kami menerima satu amaran puting beliung yang mengingatkan kami supaya berwaspada. Amaran tersebut menyatakan bahawa kami harus segera mencari perlindungan. Seolah-olah dirancang, kilat menyambar dan angin menekan kuat cermin tingkap kereta kami. Kami pun memecut keluar dari lebuh raya dan berhenti berdekatan di sebuah bangunan hotel konkrit. Setelah berlari masuk ke dalam, kami bersyukur dapat mencari tempat perlindungan.
Masalah mengingatkan kita bahawa kita memerlukan tempat perlindungan yang selamat. Amsal 18:10 berkata, “Nama TUHAN ialah menara yang kukuh, orang benar lari ke sana dan mendapat keselamatan.” Ahli teologi memberitahu bahawa frasa “nama TUHAN” bermaksud keseluruhan tentang siapa Tuhan itu sendiri. Semua sifat-Nya memberikan keselamatan apabila kita bersembunyi di dalam-Nya. Oleh sebab Tuhan kita baik, Dia menyambut kita dan Dia mendengar kita. Oleh sebab Dia kasih, Dia turut merasakan penderitaan kita.
Tetapi Tuhan bukanlah sekadar cara lain untuk menangani masalah kita. Dia lebih daripada satu penyelesaian cepat atau pengalih perhatian. Berlindung di dalam-Nya bermaksud kita memilih pertolongan-Nya lebih daripada segalanya. Kita boleh berlari kepada-Nya dalam doa, merenungkan firman Tuhan, atau berserah kepada Roh Kudus ketika menghadapi tekanan dan kebimbangan. Lama-kelamaan, kebiasaan-kebiasaan sedemikian akan membuatkan kita membentuk gaya hidup yang menjadikankan Dia tempat sebenar kita untuk bergantung dan berlindung seumur hidup.