“Kadangkala dalam hidup, kita menyaksikan perkara yang tidak dapat kita lupakan,” kata Alexander McLean kepada pewawancara rancangan 60 Minutes (60 Minit). Pemuda yang berasal dari selatan London itu berusia lapan belas tahun ketika dia pergi ke Uganda untuk bersukarela membantu dalam kerja-kerja di penjara dan pusat hospis. Di sanalah dia melihat sesuatu yang tidak dapat dilupakannya—seorang lelaki tua yang tidak berdaya terbaring bersebelahan tandas. McLean menjaga lelaki itu selama lima hari. Kemudian lelaki itu meninggal dunia.
Pengalaman itu mencetuskan semangat dalam diri McLean. Dia memperoleh ijazah undang-undang dan kembali ke Afrika untuk membantu golongan yang terpinggir. Kemudiannya, dia menubuhkan Justice Defenders, sebuah organisasi yang memperjuangkan hak-hak banduan.
Ramai orang hidup dalam keadaan yang kita “tidak dapat lupakan” jika kita betul-betul melihat mereka. Namun kita tidak nampak mereka. Dalam ratapannya terhadap tanah airnya yang termusnah, nabi Yeremia mencurahkan isi hatinya kerana merasakan dirinya tidak dipedulikan. “Kamu semua yang lalu-lalang, tidakkah kamu peduli?” jeritnya. “Pandanglah dan lihatlah! Adakah derita seperti derita yang ditimpakan kepadaku?” (Ratapan 1:12).
Yeremia berasa sakit hati bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk semua orang yang tertindas. “Kalau dipijak-pijak dengan kaki tawanan-tawanan di dunia, kalau hak orang dibelokkan di hadapan Yang Mahatinggi, atau orang diperlakukan tidak adil … masakan Tuhan tidak melihatnya? (3:34-36, TB), dia bertanya secara retorik untuk menyerlahkan keadaan ini. Namun dia melihat harapan. “Tuhan tidak mencampakkan sesiapa pun untuk selama-lamanya,” katanya. “Ya Tuhan, Engkau telah membela perkaraku, Engkau telah menebus hidupku” (ayat 31, 58).
Ramai “tidak kelihatan” wujud di sekeliling kita. Tuhan, yang telah menebus kita, memanggil kita untuk melihat dan melayani mereka sebagaimana Dia memampukan kita.