“Siapa yang boleh kamu hubungi pada tengah malam apabila segalanya terasa hancur?” Soalan ini menggugah perasaan saya untuk pertama kali apabila saya mendengarnya beberapa tahun yang lalu. Berapa orang sahabat saya yang cukup rapat sehingga saya boleh minta pertolongan mereka pada saat yang amat memerlukan? Saya tidak pasti.
Alkitab banyak berbicara tentang persahabatan, menggambarkan seorang sahabat sebagai seseorang yang dapat menyimpan rahsia (Amsal 11:13; 16:28), memberi nasihat (27:9), dan menghormati batas peribadi (25:17). Namun, mungkin tiada sesiapa dapat mendefinisikan persahabatan lebih mendalam daripada Yesus. Manakala bagi pengiklan, kita adalah pasaran, bagi majikan, kita adalah pekerja, namun bagi Yesus, Tuan atas segalanya, kita adalah “sahabat” (Yohanes 15:15). Persahabatan yang digambarkan oleh Yesus dibina berasaskan kasih kepada Tuhan dan pengorbanan diri (ayat 13, 15)—teladan yang Dia sendiri hidupkan dan minta kita untuk teruskan (ayat 12).
Beberapa tahun selepas mendengar soalan itu, saya dan isteri mengalami satu kehilangan besar. Darren, salah seorang sahabat yang tahu apa telah berlaku, menempuh perjalanan selama dua jam untuk berjumpa dengan saya, mendengar kemarahan dan kepiluan saya, dan mendoakan saya. Darren ialah orang yang sibuk dan ada banyak urusan lain yang perlu dilakukannya setiap hari. Namun dia mengikut teladan Yesus dalam persahabatan yang rela berkorban. Saya benar-benar mempunyai seorang sahabat pada saat saya yang paling susah.
Persoalannya sekarang ialah—adakah saya juga seorang “sahabat pada tengah malam” apabila orang lain memerlukan bantuan? Lagipun, untuk mempunyai lebih ramai sahabat sejati, cara yang terbaik adalah saya sendiri terlebih dahulu menjadi sahabat baik orang lain.