Dahi Kayla berkerut semasa dia menyumbat sekeping lagi kertas kecil ke dalam kotak yang telah penuh label “Serahkan kepada Tuhan” di keempat-empat sisinya. Sambil menggoncang-goncangkan kotak yang berisi kertas-kertas doa kecil yang ditulisnya, dia mengeluh panjang. “Setiap hari doa-doa itu saya baca dengan suara yang kuat,” katanya kepada kawannya. “Macam mana saya boleh pasti yang Tuhan mendengar doa saya?” sambungnya. Kawannya, Chantel, menghulurkan Alkitabnya kepada Kayla sambil berkata, “Dengan percaya bahawa Tuhan itu menepati janji-Nya, dan benar-benar melepaskan kebimbangan kamu setiap kali kamu menulis atau membaca doa yang telah kamu serahkan kepada-Nya.”

Rasul Paulus menggesa semua orang yang percaya kepada Yesus untuk “bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa” dan memberi alasan yang meyakinkan untuk berbuat demikian dengan menegaskan, “Tuhan ada berhampiran” (Filipi 4:4-5). Dia menggalakkan umat Tuhan menggantikan fikiran cemas dengan doa yang penuh iman, percaya bahawa Tuhan mendengar setiap permohonan, dan memuji Dia sambil menikmati kedamaian yang luar biasa daripada kehadiran-Nya yang tidak pernah berakhir (ayat 6-7).

Yesus, Raja Kedamaian kita memelihara kesejahteraan emosi dan fikiran kita apabila kita fokus kepada perkara yang mencerminkan sifat-sifat-Nya, yakni perkara yang “benar,” “mulia,” “suci,” dan “yang terpuji” (ayat 8).

Damai sejahtera Tuhan melindungi kita apabila kita percaya bahawa Tuhan yang membawa damai itu sentiasa bersama kita. Apabila kita tidak lagi dibebani kebimbangan, dan apabila kita menyerahkan segala doa kepada Tuhan kita yang boleh dipercayai, kita akan merasakan kedamaian yang sejati.