Josephine Butler, isteri seorang pastor yang terkenal, ialah seorang pejuang bagi gerakan kewanitaan dan reformis sosial pada Era Victoria. Dia sering memperjuangkan hak wanita yang dituduh (selalunya secara tidak adil) sebagai “perempuan jalanan,” iaitu golongan yang “paling hina” oleh masyarakat. Terdorong dengan imannya yang mendalam kepada Tuhan, dia berjuang bertahun-tahun untuk menentang Akta Penyakit Berjangkit British pada tahun 1860-an, yang memaksa wanita melalui pemeriksaan “perubatan” yang kejam dan memalukan.

Pada tahun 1883, semasa perbahasan diadakan di parlimen untuk memansuhkan Akta tersebut, dia berdoa bersama dengan wanita-wanita lain di Westminster. Dia terharu melihat “wanita-wanita paling miskin dan daif dari kawasan setinggan” duduk bersama “wanita-wanita berpangkat tinggi,” semuanya menangis dan memohon perlindungan Tuhan bagi mereka yang lemah. Dengan penuh kegembiraan, rang undang-undang yang tidak adil itu akhirnya dimansuhkan.

Panggilan Josephine agar kita menegakkan keadilan mengingatkan kita kepada kata-kata nabi Yeremia, yang menyampaikan pesan Tuhan kepada raja-raja yang jahat. Yeremia berkata, “Tegakkanlah keadilan dan kebenaran. Lepaskanlah orang yang dirompak daripada tangan penganiayanya.” Dan “jangan tindas dan jangan lakukan kekerasan terhadap pendatang, anak yatim, atau balu” (Yeremia 22:3). Tuhan mahu melindungi orang yang tidak mampu mempertahankan diri daripada penindasan orang yang berkuasa.

Tuhan juga boleh mendorong kita untuk bertindak, membantu kita melihat ketidakadilan dan bercakap serta mengambil tindakan terhadapnya. Dia yang membenci penganiayaan akan memberi kita kekuatan untuk menegakkan keadilan dan mempertahankan mereka yang tidak berdaya.