Ahli falsafah Aristotle daripada zaman Yunani kuno berkata bahawa tiada siapa boleh berkawan dengan tuhan. Mengapa? Kerana persahabatan memerlukan kesamaan, dan tuhan manakah yang sanggup meninggalkan status syurgawi mereka untuk menjadi setaraf dengan manusia yang terhina?

Saya tertanya-tanya apa respons Aristotle jika dia menghadiri Perjamuan Tuhan (Matius 26:26-35). Di sana, Yesus—Pencipta segala sesuatu, yang meninggalkan status syurgawi-Nya untuk menjadi manusia yang hina (Filipi 2:6-8; Kolose 1:16)— memberitahu para murid-Nya bahawa Dia tidak lagi memanggil mereka hamba, tetapi sahabat (Yohanes 15:15).

Aristotle pasti terkejut juga dengan siapa yang duduk di meja itu. Antaranya ada Matius, pemungut cukai yang berkhidmat untuk pemerintah Roma, dan Simon, seorang Patriot yang menentang kerajaan Roma (Matius 10:3-4); bersama dengan Yakobus dan Yohanes, yang Yesus memberi nama sebagai “Anak Petir” (Markus 3:17) sedang duduk bersama Filipus yang senyap. Saya membayangkan Aristotle pasti memerhatikan tindakan Yesus dengan penuh tanda tanya ketika Dia menerangkan roti dan wain sebagai “tubuh” dan “darah”-Nya, yang dipecahkan dan dicurahkan untuk “pengampunan dosa” (Matius 26:26-28). Apakah tuhan yang sanggup mati demi manusia biasa, bahkan demi mereka yang tidak lama lagi akan meninggalkan-Nya (ayat 56)?

Itulah salah satu sebabnya Perjamuan Kudus sangat bermakna. Melalui Yesus, Tuhan menjadi sahabat manusia, malah mereka yang berbeza pandangan politik dan sifat terjalin untuk menjadi sahabat. Ketika kita makan dan minum di Meja Tuhan, kita merayakan Dia yang menulis semula peraturan persahabatan, baik antara manusia mahupun Tuhan.