Para dermawan kaya dalam beberapa komuniti di seluruh Amerika Syarikat telah membuat janji yang menginspirasikan kepada para pelajar. Jika mereka mencapai keputusan yang baik sepanjang tiga belas tahun persekolahan di daerah mereka, para dermawan akan membiayai perbelanjaan empat tahun mereka di kolej komuniti atau universiti awam di negeri mereka. Statistik di sesetengah bandar menunjukkan bahawa janji ini telah memberi dorongan kepada pelajar, sama ada kaya mahupun miskin, untuk berusaha gigih sebaik sahaja mereka menerima khabar baik ini. Seorang guru berkata, “Ini telah mengubah pemikiran para pelajar secara menyeluruh. Bahkan setiap pelajar tadika akan memberitahu anda bahawa mereka ingin melanjutkan pelajaran ke universiti. Segala telah berubah.” Janji tentang masa depan ini telah membangkitkan semangat mereka untuk masa depan yang dipenuhi dangan impian dan harapan.
Rasul Yohanes juga bercakap tentang satu janji masa depan yang telah membantu memotivasikan iman orang yang percaya kepada Yesus pada zaman awal. Yesus berjanji akan datang kembali; dan apabila Dia datang, Yohanes berkata, “kita akan menjadi seperti-Nya, kerana kita akan melihat-Nya dalam keadaan-Nya yang sebenar.” (1 Yohanes 3:2). Dia menggalakkan para pembacanya: “Setiap orang yang menaruh pengharapan itu kepada-Nya, menyucikan dirinya, sama seperti Kristus adalah suci” (ayat 3). Kita mempunyai harapan yang teguh bahawa suatu hari nanti kita akan melihat Yesus. Dan disebabkan janji ini, keinginan kita untuk menjadi lebih serupa dengan-Nya juga bertambah kerana kita dikasihi oleh-Nya dan kita turut mengasihi-Nya.
Alangkah indah masanya apabila kita bersemuka dengan Yesus! Sementara itu, kita tetap mengikut-Nya, bertumbuh dalam iman, dan menantikan kedatangan-Nya. Tuhan pasti akan menepati janji-Nya.