Andrew agak kecewa ketika mengajar anak lelakinya berbasikal. Budak yang berusia lima tahun itu sering menyimpang ke tepi jalan dan jatuh. Menyedari bahawa ini berlaku kerana anaknya asyik memandang ke satu sisi, Andrew mendapat satu idea. “Nampak tiang itu?” dia bertanya kepada anaknya. “Kayuh saja sambil tumpukan mata kamu pada tiang itu.” Anaknya melakukan sedemikian, dan kali ini dia berjaya terus-menerus mengayuh basikalnya!
Peristiwa ini menjadi satu pelajaran bagi Andrew sendiri. Ketika dia berkongsi pengalaman ini kepada kumpulan kecilnya kemudian, dia membuat kesimpulan ini: “Apa sahaja yang mata kita tumpukan, di situlah kita tujui. Tidak hairanlah dalam kitab Ibrani 12:2, kita dipanggil supaya terus “mengarahkan mata kita kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna iman kita.”
Tanggungjawab dan rutin kehidupan boleh mengalihkan perhatian kita daripada perjalanan rohani kita, begitu juga dengan beban dan dosa yang boleh menjerat kita (ayat 1). Namun, jika kita sentiasa menumpukan mata kita kepada Yesus dan meminta pertolongan-Nya supaya kita mendahulukan Dia dalam fikiran, keputusan, dan tindakan kita, Dia akan membimbing kita dalam segala perkara yang kita lakukan dan ucapkan, membolehkan kita untuk terus berada dekat dengan-Nya dalam perlumbaan hidup ini. Ini sememangnya mencabar, tetapi Tuhan ingin membantu kita melaksanakan peranan yang telah diberikan-Nya kepada kita. Dia akan memberikan kita kekuatan untuk bertahan dan mengatasi segala rintangan supaya kita tidak “berasa bosan dan tawar hati” (ayat 3).