Lisa dan Freddie McMillan memiliki sebuah restoran yang unik di Brewton, Alabama. Mereka menyediakan hidangan panas yang cukup kepada sesiapa sahaja yang beratur—tanpa bayaran. Pasangan ini telah menggunakan wang simpanan mereka sendiri untuk membawa perubahan kepada warga emas yang sering tiada makan dan jarang ada peluang untuk menikmati makanan di restoran. Sebuah kotak derma disediakan untuk menerima sumbangan. Lisa berkata, “Kadang-kadang tiada apa yang kami temui di dalam kotak itu. Kadangkala ada sekeping nota terima kasih. Kadang-kadang pula ada wang berjumlah $1,000. Namun kami sentiasa mempunyai segala yang kami perlukan. Matlamat kami adalah memberi makan kepada mereka yang memerlukan, serta memulihkan maruah orang dan mewujudkan perkembangan di komuniti kami.”
Menjaga orang yang memerlukan boleh kelihatan sebagai tugas yang berat—kecuali kita bergantung pada Tuhan! Kitab-kitab Injil mencatat bagaimana Yesus memberi makan kepada ribuan orang dengan mengajak para murid-Nya untuk turut serta: “Berilah mereka makan” (Matius 14:16). Dalam kitab Kisah Para Rasul, kita belajar bahawa pada zaman gereja awal, orang-orang yang percaya kepada Yesus “berkongsi segalanya” dan “tiada seorang pun di antara mereka yang kekurangan” (ayat 32, 34). Ramai antara mereka menjual harta tanah dan menyerahkan hasilnya kepada para rasul, lalu “dibahagikanlah antara mereka menurut keperluan masing-masing” (ayat 34-35). Mereka memahami bahawa segala milik mereka sebenarnya milik Tuhan, mereka dengan rela hati menolong orang lain dengan apa yang dimiliki.
Tuhan sentiasa menyediakan. Kadang-kadang dengan tangan-Nya sendiri dan kadangkala melalui tangan umat-Nya. Dia memenuhi keperluan kita supaya kita dapat memenuhi keperluan orang lain.