Pada hari jadi Chantale yang ke-13, selepas sambutan yang gembira selama berjam-jam di kampung halamannya yang tenang, bunyi tembakan memecahkan suasana malam yang damai. Chantale dan adik-beradiknya berlari ke dalam hutan, mematuhi arahan cemas ibunya untuk bersembunyi. Sepanjang malam, mereka berpelukan di bawah perlindungan sebatang pokok. Matahari mucnul pada waktu pagi, tetapi bukan ibu bapa kami.” kata Chantale. Dia dan adik-beradiknya kini menjadi anak yatim dan orang pelarian, bersama dengan beribu-ribu orang yang lain di sebuah kem pelarian.
Apabila kita mendengar kisah seperti Chantale, mungkin kita berasa ingin mengabaikan sahaja penderitaan orang lain yang begitu besar. Namun, Alkitab telah memberitahu orang percaya bahawa Dialah Tuhan yang tidak pernah mengabaikan orang yang menderita. Dia dengan penuh perhatian “menaungi orang asing, membantu anak yatim dan balu” (Mazmur 146:9).
“Pencipta langit dan bumi … tetap setia selama-lamanya” (ayat 6), sentiasa bekerja untuk menegakkan “keadilan bagi mereka yang ditindas” dan memberi “makanan kepada mereka yang lapar” (ayat 7).
Kemudian, Chantale Zuzi Leader telah mengasaskan sebuah organisasi untuk mendidik gadis-gadis pelarian. Dia berkata pengalamannya telah mengajarnya bahawa “sesiapa sahaja mungkin akan menjadi seorang pelarian—kehilangan tempat perlindungan yang pernah dimiliki mereka.”
Semoga respons kita terhadap mereka yang telah kehilangan tempat perlindungan mencerminkan hati Tuhan yang sentiasa setia, yang merupakan “tempat bernaung bagi orang yang ditindas” (Mazmur 9:9), dan “menegakkan mereka yang tersungkur” (Mazmur 146:8).