Seorang pemain violin mengenakan topi besbol dan T-shirt, bersiap sedia berdekatan stesen metro L’Enfant Plaza di Washington, DC. Dia menggerakkan busur pada tali violin, dan alunan muzik yang merdu kedengaran. Tetapi para penumpang bergegas lalu tanpa menyedarinya. Dia memainkan keseluruhan program muzik dengan hanya segelintir orang yang berhenti untuk mendengar. Bayangkan respons orang ramai yang berlalu begitu sahaja pada hari itu, jika mereka tahu bahawa pemain muzik itu sebenarnya ialah Joshua Bell, salah seorang pemain violin terhebat dalam generasi kita, yang pada malam sebelumnya telah mengadakan konsert muziknya di Perpustakaan Kongres. Hari itu Bell telah memainkan beberapa karya muzik yang paling sukar dan mempesonakan, dengan violin Stradivarius tahun 1713 yang bernilai kira-kira $3.5 juta dolar.
Mudah sekali orang tidak sedar dan terlepas akan perkara yang begitu indah tepat di hadapan mereka. Inilah yang dialami oleh Yakub semasa dia dalam perjalanan ke Haran (Kejadian 28:10). Dia berhenti dan memasang khemah di sebuah tempat biasa, yang dia hanya ingin berehat untuk semalam. Tetapi Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi Yakub pada tengah malam, memberitahunya bahawa keturunannya yang ramai akan memberkati “semua kaum bangsa di bumi” (ayat 14). Tuhan juga meyakinkan Yakub bahawa Dia akan “menjaga [dia] ke mana-mana pun [dia] pergi” (ayat 15). Apabila dia terjaga, Yakub berkata, “Sesungguhnya, TUHAN hadir di tempat ini dan aku tidak mengetahuinya!” (ayat 16).
Tuhan ada di mana-mana, “memenuhi langit dan bumi” (Yeremia 23:24). Dia hadir di tempat-tempat yang paling biasa. Apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa membuka mata dan telinga kita, bagi melihat perbuatan-Nya dan mendengar suara-Nya.