Semua kenderaan terhenti, tetapi saya tidak tahu sebabnya. Hari itu hanya terdapat beberapa buah kereta di jalan raya, dan saya tidak nampak sebarang alasan yang jelas untuk berhenti. Tiba-tiba—dengan sangat mengejutkan dan menggirangkan—beribu-ribu ekor domba muncul dan melintas jalan raya. Sebagai seorang pendatang baru di Idaho, saya masih belum biasa dengan penghijrahan tahunan kawanan domba ke kaki bukit Boise setiap musim bunga. Para penternak tempatan akan menggiring kawanan ternakan mereka ke kawasan kaki perbukitan, yang domba-domba itu akan meragut rumput liar di sepanjang musim panas.

Oleh sebab saya hanya pernah tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar sepanjang hidup saya, pemandangan itu terasa sesuatu yang luar biasa bagi saya. Namun, domba-domba merupakan ternakan yang biasa kelihatan pada zaman Yehezkiel (dan sebahagian besar sejarah Alkitab). Nabi Yehezkiel menggunakan gambaran yang biasa diketahui oleh orang ramai—domba dan gembala—untuk menyampaikan pesan Tuhan kepada mereka tentang penghiburan dan harapan-Nya.

Yehezkiel menyampaikan kata-kata penghiburan dan harapan kepada orang Israel, memberitahu mereka bahawa walaupun mereka mengalami penderitaan selama bertahun-tahun di Babel—akibat daripada pemberontakan mereka yang berulang-ulang terhadap Tuhan—suatu hari nanti Dia akan membawa mereka ke “tanah mereka” (Yehezkiel 34:13). Pada masa itu, seperti seorang gembala, Tuhan akan “menggembalakan mereka di padang rumput yang baik,” dan mereka akan “berbaring di padang ragut yang baik” (ayat 14).

Tuhan menunjukkan penjagaan yang sama kepada umat-Nya. Kita boleh percaya kepada Dia, yakni Gembala Agung kita, yang akan memimpin setiap langkah hidup kita. Meskipun kita mungkin terasa “tercerai-berai” seperti domba yang berada dalam kesukaran (ayat 12), Gembala ini akan menuntun kita menuju padang rumput yang subur (ayat 13-14).