Pada suatu petang yang panas, saya berjumpa dengan kawan-kawan di pusat bandar. Kami berasa teruja untuk makan di sebuah restoran yang menawarkan persembahan muzik jazz di luar restoran, tetapi apabila kami tiba, ruang di luar sudah penuh. Dengan rasa kecewa, kami pun beredar dan terpaksa berjalan beberapa blok untuk mencari tempat makan lain.

Di dunia ini, kekecewaan menjelma dalam pelbagai bentuk, besar atau kecil. Haiwan peliharaan yang dikasihimati. Kerjaya yang gagal. Kesihatan yang merosot. Kita putus hubungan dengan orang yang kita kasihi. Dalam segala kegagalan kita, kita mempunyai penghiburan daripada Tuhan, tetapi kisah hidup kita bukan selalunya berakhir dengan kebahagiaan seperti yang kita harapkan. Namun, orang yang percaya kepada Yesus mempunyai pengharapan akan kegembiraan yang berkekalan.

Kitab Wahyu mencatatkan bahawa Tuhan memberikan Yohanes satu penglihatan yang menakjubkan. Yohanes melihat “Kota Suci, Yerusalem Baru” (21:2). “Seperti pengantin yang terhias untuk suaminya” (ayat 2), kota itu memancarkan kemuliaan Tuhan. Tuhan akan tinggal di sana bersama semua umat-Nya. Di kota-Nya tidak ada jenayah, tiada kegelapan dan ketakutan (ayat 25-27). Sebaliknya terang, kedamaian dan kebaikan semuanya akan melimpah-ruah.

Pada malam saya keluar makan malam bersama kawan-kawan, kami akhirnya berjalan balik melepasi restoran pertama itu. Lampu-lampu putih menyinari kaki lima, dan kami berhenti untuk mendengar muzik sambil menikmati ais krim. Saya menikmati detik itu, namun kita tahu bahawa tiada kegembiraan duniawi yang dapat dibandingkan dengan pengakhiran yang akan dinikmati selama-lamanya oleh orang yang percaya.