Gereja Pastor Jeff telah mengadakan retret musim luruh di sebuah tapak perkhemahan yang berhampiran dengan rumah saya. Suatu hari dia berjalan-jalan bersama anak lelaki saya, yang menuntun dia melalui satu laluan di hutan dan menuju ke halaman luar sebuah gereja kecil. Tiba-tiba, mereka terserempak dengan tabut perjanjian! Sudah tentunya itu bukanlah tabut yang sebenar, tetapi sebuah replika yang bersaiz sebenar dan berwarna keemasan. Suami saya mula membina tabut ini beberapa tahun yang lalu atas galakan Jeff, dan baru-baru ini disiapkan oleh anak lelaki saya sebagai satu kejutan.
Jeff berasa sangat teruja sehingga dia bergegas mencari orang lain untuk membantunya membawa tabut itu ke dewan makan tapak perkhemahan mereka. Alangkah indahnya pemandangan ini: para lelaki memikul tabut tersebut di sepanjang jalan, dan dua orang cucu lelaki pastor yang kecil itu berjalan mengikut di belakang sambil berpegang tangan!
Alkitab menceritakan peristiwa yang sukacita itu apabila tabut perjanjian yang sebenar, yang melambangkan kehadiran Tuhan dengan umat-Nya, diangkut keluar dari sebuah rumah, kemudian pergi ke Yerusalem, iaitu “Kota Daud” (2 Samuel 6:12), dan disimpan ke tempat yang disediakan. Raja Daud begitu bersukacita sehingga dia menari-nari “dengan penuh semangat” dan seluruh keturunan kaum Israel bersorak-sorai diiringi bunyi sangkakala (ayat 14-15).
Beberapa tahun kemudian, bangsa Israel ditawan ke Babel, dan Yerusalem dimusnahkan (2 Raja-Raja 25). Kita tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap tabut itu. Banyak legenda wujud, tetapi kita tidak lagi memerlukan tabut itu untuk menikmati kehadiran Tuhan (Yohanes 14:16-17). Melalui kematian dan kebangkitan Yesus, serta pengutusan Roh Kudus, Tuhan hadir bersama semua yang percaya kepada Kristus. Itulah sebab yang terbaik untuk bersukacita!