Dalam tulisan blognya yang bertajuk “Regrets of the Dying” (Penyesalan Manusia Menjelang Kematian), Bronnie Ware mencoretkan kata-kata penyesalan daripada para pesakitnya semasa dia bekerja sebagai jururawat yang menjaga pesakit tenat. Antara penyesalan itu ialah “Kalau saya tahu, elok lagi saya tak usah bekerja begitu kuat” dan “Alangkah baiknya kalau saya terus-menerus berhubung dengan kawan-kawan saya selama ini” Yang paling menarik: “Kalau saja selama ini saya biarkan diri sendiri berasa lebih bahagia.”

“Menghadapi hakikat bahawa kita pasti akan mati adalah satu cara yang luar biasa untuk menjalani hidup yang penuh kegembiraan,” tulis Ware. Itu nasihat yang baik, tetapi apakah sumber kegembiraan seperti itu? Di manakah kita boleh mendapatkan makna hidup yang sebenar?

Yohanes, iaitu murid Yesus, mempunyai pandangan yang menyimpang tentang tujuan hidup semasa dia masih muda. Dia dan saudaranya bertanya kepada Yesus, “Kurniailah kami duduk di kiri dan kanan-Mu dalam kemuliaan-Mu” (Markus 10:37). Permintaan mereka ini hanya mencetuskan kemarahan dalam kalangan murid-murid Yesus yang lain (ayat 41).

Beberapa dekad kemudian, Yohanes mempunyai pandangan yang sangat berbeza—tentang kasih dan komuniti dalam Yesus. Yohanes melihat kehidupan, kematian dan kebangkitan Yesus sebagai dasar untuk segala-galanya. “Kami … memberitahumu tentang hidup kekal,” dia menulis (1 Yohanes 1:2). Yohanes memberitahu kita tentang Yesus supaya “kamu juga bersaudara dengan kami” (ayat 3). Kemudian dia menambah, “Sesungguhnya, kami hidup dalam keakraban dengan Bapa dan Anak-Nya Yesus Kristus. Kami menulis tentang segala ini kepadamu supaya kebahagiaanmu sempurna” (ayat 3-4).

Meskipun hidup kita ada penyesalan, Yesus menjemput kita untuk menukar penyesalan itu dengan kebahagiaan sempurna yang hanya dapat diberikan oleh-Nya.