Sekumpulan arkitek landskap mengkaji kesan jika pagar dibina di sekeliling sebuah taman permainan prasekolah. Di taman permainan tanpa pagar, kanak-kanak cenderung berkumpul berhampiran dengan bangunan sekolah dan guru mereka dan tidak menjauh. Tetapi di taman permainan berpagar, mereka menikmati seluruh kawasan itu. Para penyelidik membuat kesimpulan bahawa sempadan boleh mewujudkan rasa kebebasan yang lebih besar. Nampaknya ini berlawanan dengan intuisi kebanyakan kita yang menganggap sempadan menyekat keseronokan. Namun pagar sebenarnya boleh memberikan kebebasan!

Tuhan menggariskan kebebasan yang disediakan oleh sempadan-Nya untuk kita. Apabila Tuhan memberikan sepuluh hukum kepada Israel, Dia berjanji bahawa kehidupan yang “baik dan diberkati” akan terhasil daripada menjalani kehidupan dalam batas-batas yang ditetapkan-Nya. “Tempuhlah segala jalan yang diperintahkan Tuhan, Allahmu, kepadamu supaya kamu dapat hidup, keadaan kamu baik, dan lanjut umurmu di negeri yang akan kamu miliki (Ulangan 5:33). Di sini, konsep kemakmuran bukan sekadar merujuk kepada harta benda, tetapi kehidupan yang membawa hasil yang baik—kehidupan yang berkualiti.

Yesus, yang menggenapi hukum Taurat melalui kematian-Nya di salib, mengisytiharkan, “Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu murid-Ku yang sejati. Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu” (Yohanes 8:31-32). Sesungguhnya, sempadan adalah untuk kebaikan kita. “Pagar” telah membebaskan kita untuk menikmati kehidupan yang diciptakan Tuhan, dan berjalan bersama-Nya selamanya.