“Oh, kamu nampak serius betul!” kata saya kepada cucu perempuan saya, Leilani yang berusia sepuluh minggu. Dia mengamati wajah saya dengan dahi berkerut semasa saya bercakap dengannya. “Saya pun akan seriuslah” saya sambung, “lihatlah dunia ini. Tapi kamu tahu tak? Mama sayangkan kamu, ayah pun sayangkan kamu, Opah dan Atuk pun sayang kamu. Tapi yang paling penting, Yesus sayangkan kamu! Itulah yang paling bermakna!”
Lalu … dahinya yang berkerut di wajah comelnya berubah menjadi berseri-seri. Dia tersenyum. Senyumannya itu mencairkan hati saya. Seperti kebanyakan datuk dan nenek, saya berharap anak ini dapat memahami kata saya, walaupun itu mungkin sukar. Namun mungkin dia dapat merasakan sedikit kegembiraan di sebalik kata-kata saya. Sukacita yang sederhana dan kemurnian yang terpancar di wajah bayi kecil ini mengingatkan saya akan kata-kata Yesus bahawa kita harus “menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil” (Markus 10:15).
Yesus mengucapkan kata-kata tersebut ketika “orang membawa kanak-kanak kecil” kepada-Nya supaya Dia “meletakkan tangan-Nya ke atas mereka dan memberkati mereka” (ayat 13, 16). Tetapi “murid-murid-Nya memarahi mereka”, kerana menganggap Yesus terlalu sibuk atau penting. Yesus tidak menyenangi sikap murid-murid-Nya itu (ayat 14-15).
Kanak-kanak sememangnya insan rendah hati dan bergantung pada ibu bapa atau penjaga mereka. Demi menerima kasih dan kebaikan Tuhan yang diberikan melalui Kristus, kita hendaklah membuang sikap ego dan mengakui bahawa kita memerlukan Tuhan dalam semua aspek kehidupan. Semasa kita berbuat demikian, keputusasaan di dunia akan diganti-Nya dengan janji kehidupan bersama Tuhan selama-lamanya. Itulah yang sepatutnya membuat kita tersenyum.