Semasa berada di unit rawatan rapi bayi yang baru lahir di hospital, saya meluangkan masa dengan seorang ibu yang sedang memeluk erat bayinya yang baru lahir di dadanya. Walaupun hospital mempunyai teknologi yang canggih, para doktor telah memberikan cadangan mudah kepada ibu untuk membantu bayinya menjadi lebih kuat—ibu ini disuruh mendukung bayi perempuannya untuk jangka masa yang lama setiap hari.

Hampir tiada apa yang dapat menandingi kasih sayang yang luar biasa dan belas kasihan yang lembut daripada ibu bapa yang memberikan penghiburan yang menyembuhkan bagi seorang anak. Kita boleh melihat gambaran yang kuat ini dalam huraian nabi Yesaya tentang Tuhan bersama umat-Nya.

Bahkan setelah menubuatkan pembuangan yang akan segera terjadi bagi bangsa Israel kerana mereka telah menolak Tuhan (Yesaya 39:5-7), Yesaya menekankan kepada umat itu bahawa Tuhan masih mengasihi mereka dan akan selalu menyediakan keperluan mereka. Kasih sayang Tuhan yang lembut dan pemeliharaan-Nya terbukti dalam ibarat yang indah ini: Dia digambarkan sebagai seorang gembala, seperti seorang ayah yang penyayang, mengumpulkan domba-domba-Nya “dan mendukung mereka rapat ke dada-Nya” (40:11).

Kehadiran Tuhan memberi kita kedamaian dan perlindungan serta mengingatkan kita bahawa Dia membawa kita rapat ke dada-Nya, seperti bayi yang baru lahir bersama ibunya. Apabila Dia “memberikan kekuatan kepada yang lelah dan menambah semangat kepada yang lemah” (ayat 29, TB), penghiburan daripada Roh Kudus yang membawa kesembuhan membolehkan kita menghadapi cabaran setiap hari.