Doktor Dolittle, seorang doktor fiksyen yang boleh bercakap dengan haiwan, telah menghiburkan para peminat melalui buku, filem dan pementasan teater. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa pengarangnya, Hugh Lofting, sebenarnya mula-mula sekali menulis kisah-kisah Dolittle kepada anak-anaknya ketika dia berada di kubu parit yang mengerikan semasa Perang Dunia Pertama. Dia kemudian berkata bahawa perang itu terlalu mengerikan untuk diceritakan dalam surat-suratnya—jadi, sebagai gantinya, dia menulis dan mengilustrasi cerita. Begitulah caranya Lofting melawan kengerian dalam peperangan melalui kisah-kisah yang lucu dan penuh keriangan.

Sungguh menginspirasi apabila kita melihat seseorang berjuang melawan kuasa-kuasa jahat yang mengancam, yang kelihatan terlalu kuat dan sukar dikalahkan. Kita mengagumi keberanian yang kental ini kerana kita takut bahawa ketidakadilan, keganasan, dan ketamakan akan menang pada akhirnya. Ada kalanya kita takut bahawa seluruh dunia akan “ditewaskan oleh kejahatan” (Roma 12:21). Dan ketakutan ini akan menjadi satu kenyataan—jika kita dibiarkan bersendirian. Namun, Tuhan tidak membiarkan kita bersendirian. Dia memenuhi kita dengan kekuatan-Nya, memimpin kita untuk mengambil tindakan, dan memanggil kita “tewaskanlah kejahatan dengan kebaikan” (ayat 21).

Kita masing-masing menewaskan kejahatan dengan kebaikan mengikut apa sahaja cara yang ditanamkan Tuhan dalam hati kita. Ada orang menulis cerita-cerita indah. Ada yang menjaga orang miskin. Ada orang mempersiapkan rumah sendiri untuk menyambut orang asing. Ada yang berkongsi kisah Tuhan melalui melodi, puisi, atau perbualan. Dalam pelbagai cara, kita boleh membawa kebaikan dan damai-Nya ke dunia (ayat 18), serta menewaskan kejahatan di mana sahaja kita pergi.