Beberapa tahun yang lalu, satu bungkusan yang berbonjol tiba di peti surat saya. Saya perasan alamat pengirim ialah milik sahabat baik saya, Joe, dan saya tersenyum. Joe kadangkala mengirimkan benda yang tidak dijangka kepada saya. Bungkusan ini salah satu daripadanya. Di dalamnya berisi sebatang gigi jerung berwarna coklat gelap—kira-kira 13cm panjangnya.

Dalam surat Joe menjelaskan: Inilah sebatang gigi fosil daripada seekor jerung prasejarah yang dikenali sebagai megalodon, yang saiznya jauh lebih besar daripada seekor jerung putih besar. Saya cuba membayangkan betapa besarnya rahang seekor ikan untuk memuatkan barisan gigi seperti itu. Para saintis memberikan satu anggaran spekulatif: 2.7 meter x 3.3 meter. Bayangkah alangkah hebatnya rupa makhluk-makhluk ini suatu ketika dahulu!

Alkitab tidak menyebut tentang megalodon. Tetapi dalam kitab Ayub, Tuhan menggambarkan satu makhluk laut yang dipanggil Lewiatan. Ayub 41 menjelaskan secara terperinci tentang tubuh makhluk ini yang mengagumkan. “Aku tidak mahu berdiam diri mengenai anggota-anggota tubuhnya, mengenai tenaganya dan bentuknya yang elok,” Tuhan berfirman kepada Ayub (ayat 12). “Siapakah yang dapat membuka pintu moncongnya? Di sekeliling giginya ada kengerian” (ayat 14).

Jawapannya? Hanya Pencipta Lewiatan yang dapat melakukannya. Di sini, Tuhan mengingatkan Ayub bahawa sehebat mana pun makhluk ini, ia tidaklah sehebat Penciptanya: “Segala sesuatu di seluruh kolong langit ialah milik-Ku” (ayat 11).

Gigi megalodon itu terletak di atas meja saya—sebagai bukti visual akan keagungan dan kreativiti Pencipta kita. Itu juga menjadi peringatan tidak langsung tentang sifat Tuhan yang menghiburkan saya, apabila dunia terasa seperti mahu menelan dan meludahkan saya.