Pada 22 September 1959, satu artikel renungan yang ditulis oleh Dr. M. R. DeHaan muncul dalam Our Daily Bread. Dia menulis bahawa dia sangat suka makan sejenis popcorn manis yang berjenama Cracker Jack. Tujuan asalnya adalah mengaitkan kerinduannya itu kepada kerinduan terhadap firman Tuhan. Namun, yang membuatnya terkejut, beberapa minggu kemudian, kotak demi kotak Cracker Jack mula tiba di pejabatnya. Keinginannya terhadap Cracker Jack telah dipenuhi oleh para pembaca setianya.
Kita mudah lupa untuk memiliki kebiasaan yang membaca dan merenungkan firman Tuhan. Itulah sebabnya kita perlu merindukan sesuatu yang “lebih manis daripada madu” (Mazmur 19:10). Pemazmur Daud menggalakkan kita untuk mengetahui bahawa firman Tuhan adalah “sempurna, mengubah jiwa”; ia “boleh dipercayai” dan penuh hikmat (ayat 7). Dia menjelaskan bahawa “ajaran-ajaran TUHAN benar, menggembirakan hati” (ayat 8).
Dr. DeHaan menggalakkan para pembaca untuk membangun kebiasaan yang selalu berinteraksi dengan firman Tuhan—sesuatu yang didambakan mereka setiap hari, seperti ingin makan popcorn manis. Pentingnya juga bagi kita untuk ada kebiasaan yang bermeditasi dan merenungkan firman Tuhan, serta memberi respons kepada kebenarannya. Dengan pertolongan Tuhan, marilah kita menjadi seperti Daud yang berkata, “Semoga segala yang kututurkan dengan lidah dan kurenungkan dalam hati diterima oleh-Mu, Ya TUHAN” (ayat 14).
Bagaimanakah anda merasakan “kemanisan” firman Tuhan setiap hari? Bagaimanakah anda boleh berkongsi dengan orang lain bahawa firman Tuhan adalah lebih berharga daripada emas?
Ya Tuhan, terima kasih untuk Alkitab, kerana firman-Mu menuntun aku kepada Yesus. Tolonglah aku untuk terus berinteraksi dengan firman-Mu setiap hari, supaya aku selalu diingatkan akan kebenaran-Mu.
Dalam Mazmur 19, kasih Daud terhadap Kitab Suci (yang digambarkan sebagai
hukum, peraturan, ketetapan, dan perintah) terserlah melalui bahasa yang digunakannya: firman Tuhan “lebih berharga daripada emas” (ayat 10); ia menyegarkan jiwa, memberi hikmat, memberikan pengertian, membawa sukacita, memberi amaran, dan ganjaran (ayat 7-11). Kita melihat cinta akan firman Tuhan yang serupa dalam Mazmur 119:97-104. Pemazmur, seperti Daud, menggambarkan firman Tuhan sebagai “lebih manis daripada madu bagi lidahku!” (ayat 103). Dalam firman itu, kita menemukan hikmat untuk menjalani kehidupan. Firman Tuhan menjadi “lampu bagi kakiku dan cahaya bagi jalanku” (ayat 105). Dalam Perjanjian Baru, Paulus berkata: “Seluruh Kitab Suci diilhamkan oleh Allah, dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran. Dengan demikian, tiap-tiap orang yang mengabdikan diri kepada Allah akan dilengkapi sepenuhnya untuk melakukan segala kerja yang baik” (2 Timotius 3:16-17). Apabila kita mendambakan kemanisan firman Tuhan serta membaca dan merenungkannya, kita juga akan menikmati firman Tuhan dengan penuh sukacita dan menikmati berkatnya.
Alyson Kieda