Apabila saya menemani sahabat saya ke salon pada hari jadinya, kami sangat gembira dengan layanan istimewa yang kami terima. Muzik yang menenangkan dan seorang pelayan peribadi menyambut kami ke spa yang tenang dan berlampu malap. Seluruh pengalaman itu santai, senyap, dan menyegarkan. Namun, saya terpaksa menahan gelak apabila melihat satu papan tanda di atas meja yang tertulis: “Rangkaian penjagaan rambut organik ini bukan sahaja memberi anda rambut yang cantik—ia memberi anda ketenangan fikiran.”
Kita tahu produk penjagaan rambut tidak membawa ketenangan yang berkekalan, namun kita sering berpuas hati dengan kelegaan sementara dunia kita penuh dengan tekanan. Hakikatnya, kedamaian sejati bukan datang daripada sesuatu, tetapi daripada seseorang.
Ketika menggalakkan orang yang percaya di Roma, Paulus mengingatkan mereka, “Oleh yang demikian, kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus” (Roma 5:1). Dosa memisahkan kita daripada Tuhan, tetapi korban penebusan Kristus membuka jalan bagi kita untuk mempunyai hubungan dengan-Nya (ayat 9-10). Yesus menawarkan kedamaian untuk hari ini dan selama-lamanya (ayat 1)—“kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah,” “dengan harapan akan kemuliaan Allah” (ayat 2), dan pengharapan meskipun dengan penderitaan dunia (ayat 3–4).
Berdamai dengan Tuhan bukan sekadar perasaan; ia adalah pemberian yang kita terima melalui iman dalam Yesus. Sama ada kita berasa dekat dengan Tuhan atau tidak, damai-Nya tersedia untuk kita—di salon mahupun di hospital, di saat tenang mahupun huru-hara.