Richard Griffin ialah pegawai polis peribadi kepada Ratu Elizabeth II selama empat belas tahun. Suatu hari semasa dia menemani Ratu berkelah di kawasan bukit berhampiran Istana Balmoral, mereka bertemu dengan dua orang pendaki dari Amerika. “Pernahkah kamu berdua bertemu Ratu?” mereka bertanya, tanpa menyedari bahawa wanita yang berpakaian biasa itu sebenarnya ialah ratu. “Saya belum pernah,” jawab Ratu dengan bergurau, “tetapi Richard di sini sering bertemu dengan baginda!” Mereka sungguh gembira kerana dapat bertemu dengan seseorang yang dekat dengan kerabat diraja, maka pendaki itu menyerahkan kamera mereka kepada Ratu, berdiri bersama Richard, dan meminta Ratu mengambil gambar mereka!

Ini bukanlah kali pertama seseorang berada di hadapan seseorang yang penting tanpa menyedarinya. “Sesungguhnya, TUHAN hadir di tempat ini dan aku tidak mengetahuinya!” kata Yakub selepas bertemu Tuhan dalam mimpi di Betel (Kejadian 28:16). Apabila Filipus meminta Yesus menunjukkan Bapa kepada para murid, Yesus menjawab, “Sekian lama Aku bersama kamu semua, belum lagi kaukenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa” (Yohanes 14:9). Seperti pendaki itu, barangkali para murid itu telah bersedia untuk menyerahkan kamera kepada Yesus, tanpa menyedari bahawa Dia yang sepatutnya menjadi fokus kita (ayat 10-11).

Seperti Ratu pada hari itu, Yesus tidak selalu dikenali siapa Dia sebenarnya. Dia bukan sekadar seorang “guru yang bijaksana” atau “pemimpin moral yang agung,” sebaliknya Dia adalah Tuhan yang menjadi manusia dan Raja di dunia (1:14; 18:36). Alangkah besarnya wahyu ini, apabila kita mengenal siapa itu Yesus!