Adolfo Kaminsky tahu cara untuk menghapuskan dakwat kekal dari kertas. Sebagai ahli gerakan penentang Nazi di Perancis, dia mengubah butiran pada kad pengenalan untuk menyelamatkan ratusan orang daripada dihantar ke kem maut. Pernah sekali dia diberi masa tiga hari untuk memalsukan sembilan ratus sijil kelahiran dan pembaptisan serta kad catuan untuk tiga ratus kanak-kanak Yahudi. Dia bekerja selama dua hari berturut-turut tanpa tidur, dan berkata kepada dirinya, “Dalam masa sejam aku boleh menghasilkan tiga puluh kad pengenalan palsu. Tapi jika aku tidur selama satu jam, tiga puluh orang akan mati.”

Rasul Paulus merasai desakan yang sama. Dia mengingatkan jemaah di Efesus bagaimana dia telah “memperhambakan diri kepada Tuhan dengan sehabis-habis rendah hati dan dengan air mata”, dan ditimpa beberapa cubaan (Kisah Para Rasul 20:19). Paulus berkata, “Aku tidak pernah menyembunyikan daripadamu sesuatu yang berfaedah kepadamu” (ayat 20). Desakan ini mendorong dia berkongsi kepada semua orang tentang pentingnya kita mengakui dosa dan bertaubat kepada Tuhan, dan percaya akan Tuhan Yesus (ayat 21). Masa itu dia sedang belayar kembali ke Yerusalem, bersungguh-sungguh untuk “menyempurnakan tanggungjawab dan tugas yang [diterima] daripada Tuhan Yesus—iaitu memberikan kesaksian akan Injil tentang kasih kurnia Allah” (ayat 24).

Paulus tidak dapat menyelamatkan orang. Hanya Tuhan yang melakukannya. Tetapi dia boleh memberitahu mereka tentang berita baik mengenai Yesus, “tiada nama lain di bawah langit ini diberikan dalam kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita” (Kisah Para Rasul 4:12).

Siapakah yang Roh Kudus ingatkan kepada anda hari ini, mereka yang belum percaya? Anda boleh berkongsi berita baik Tuhan dengan mereka.