Sebuah kapal tunda karam kira-kira 32-kilometer dari pantai Nigeria, terbalik dan tenggelam ke dasar laut. Sebelas anak kapal lemas, tetapi tukang masak kapal, Harrison Odjegba Okene, terselamat kerana menemui ruang udara dan menunggu di situ. Dia hanya ada sebotol minuman Coke sebagai bekalan, dan kedua-dua lampu suluhnya habis bateri dalam tempoh 24 jam pertama. Selama tiga hari yang menggerunkan, Okene terperangkap sendirian dalam kegelapan di dasar laut. Dia hampir hilang harapan apabila para penyelam yang datang untuk mengambil mayat, menemuinya sedang duduk menggigil jauh di dalam badan kapal.
Bayangkan Okene bersendirian dalam kegelapan selama 60 jam—sungguh mengerikan. Dia memberitahu media bahawa dia masih mengalami mimpi ngeri akibat kejadian itu. Namun, dapatkah anda bayangkan betapa lega dan gembiranya apabila dia terlihat cahaya lampu penyelam menembusi kegelapan itu? Pasti berasa syukur, gembira dan penuh harapan. Nabi Yesaya pernah bernubuat bahawa apabila Mesias datang, semua “bangsa yang berjalan dalam kegelapan” akan melihat “cahaya yang gemilang” (Yesaya 9:2). Tanpa pertolongan, kita hidup “dalam negeri yang gelap,” tetapi dalam Yesus, “cahaya telah bersinar” (ayat 2).
Kristus ialah “cahaya dunia,” dan bersama-Nya, kita tidak perlu lagi takut akan kegelapan kerana kita “mempunyai cahaya hidup” (Yohanes 8:12). Walaupun kita mungkin rasa terperangkap, putus asa, keseorangan atau sedih, Tuhan membawa berita baik. Yesus membawa kita keluar dari kegelapan kepada cahaya-Nya yang menakjubkan.