Selepas Kat mengetahui dia hamil, dia berhenti sekolah menengah untuk menjaga anak perempuannya. Lima belas tahun kemudian, Kat menjadi ibu yang bekerja dengan tiga orang anak, dan dia masih menyimpan impian untuk menjadi jurusolek berlesen. Dengan kerendahan hati dan semangat, dia kembali belajar dalam satu program sokongan GED (Sijil Pengganti Diploma Sekolah Menengah) yang percuma. Kembali ke bangku sekolah setelah sekian lama adalah pengalaman yang merendahkan hatinya. “Program ini telah mengubah hidup saya!” kata Kat. “Cikgu saya sangat hebat dan sentiasa memberi semangat.”
Kekal bersikap terbuka untuk belajar mungkin merupakan salah satu perkara yang paling sukar untuk dilakukan. Alkitab bercakap tentang hati yang terbuka kepada hikmat Tuhan. Puisi dalam kitab Amsal mengambarkan dua orang wanita menawarkan satu jemptuan kepada orang yang lalu-lalang―Orang Bijak dan Orang Bodoh (Amsal 9:1-6; 13-18). Mereka yang mendengarkan orang bjiak menerima tegurannya dengan hati terbuka. Maka orang itu akan “bertambah arif” dan “pengetahuannya akan bertambah” (ayat 9). Mereka sentiasa “maju di jalan pengertian” (ayat 6) dan duduk di meja orang bijak untuk menerima pelajaran. Ketaatan mereka membawa kepada kehidupan yang penuh dan bermakna (ayat 11).
Sebaliknya, mereka yang mendengar Orang Bodoh akan membenci teguran atau kritikan. Mereka menghina sesiapa yang cuba menasihati mereka (ayat 7-8). Kerendahan hati timbul daripada takut akan Tuhan―mengakui bahawa Dialah “Yang Maha Suci” dan bukan kita (ayat 10). Memang tidak mudah untuk sentiasa bersikap sedia belajar, tetapi sikap ini memberi kita kebebasan untuk mengakui bahawa kita tidak tahu semuanya dan masih perlukan pertolongan. Orang Bijak sedang memanggil kita. Bagaimanakah kita akan menyahut panggilannya?