Pada hari pertama di sebuah kem, Alan mengajar remaja tentang kemahiran keusahawanan, seorang pelajar berkata, “Encik seorang Kristian, bukan? Saya boleh tahu.” Sebelum Alan sempat memberitahu bahawa dia seorang Kristian atau memakai stokin dan tali leher kegemarannya yang ada simbol Kristian, remaja itu berkata dia nampak Yesus melalui kata-kata, perbuatan dan sikap Alan. Kemudian mereka berbincang bagaimana mereka boleh lebih mewakili Yesus dengan lebih baik di mana sahaja mereka berada.

Mengaku diri orang Kristian dan memakai pakaian yang ada mesej Kristian memang perkara yang baik. Namun, Alkitab mengajar bahawa cara hidup dan kasih kita semasa berkongsi Injil adalah bukti sebenar seseorang itu pengikut Yesus. Rasul Paulus dan orang percaya lain di Korintus terdorong untuk menyenangkan hati Tuhan dengan menjalani hidup yang berpandangan kekal sambil berkongsi siapa itu Tuhan kepada orang lain (2 Korintus 5:9-14).

Apabila kita benar-benar hidup untuk Kristus dan bukan untuk diri sendiri, Roh Kudus akan mengubah cara kita melihat dunia, membentuk watak kita, keutamaan hidup dan cara kita berhubung dengan orang lain (ayat 15-17). Hidup baru kita dalam Yesus bertujuan untuk mewakili Dia dan membawa orang lain mendekati-Nya, “Melalui kami, Allah menyampaikan apa yang dikehendaki-Nya” (ayat 20).

Dengan kuasa Roh Kudus, kita diberi sukacita dan tanggungjawab untuk mewakili Kristus di mana sahaja kita berada.