Apabila jari manis saya tercedera, saya menjangkakan akan mengalami kesakitan selama berbulan-bulan sebelum jari itu pulih sepenuhnya. Semasa saya melakukan senaman yang disarankan doktor, jari kelingking pula mula terasa sakit. Saya pun berjumpa doktor. Katanya, “Ini dipanggil sakit simpati.” Saraf jari manis dan jari kelingking saling bersambung, jadi kedua-dua jari saling bergantung. Jika satu jari sakit, jari yang satu lagi turut terasa sakit sebagai simpati.

Rasul Paulus menggunakan tubuh manusia untuk menggambarkan keunikan dan kesatuan umat Tuhan. Dalam 1 Korintus 12:21-26, dia menegaskan betapa pentingnya setiap anggota untuk memastikan tubuh berfungsi dengan sihat. Kemudian dia menumpukan kepada kesatuan yang terbentuk apabila kita saling berhubung. “Jika satu anggota menderita, semuanya turut menderita” (ayat 26). Gambaran Paulus tentang hubungan sesama kita dalam gereja turut ditekankan dalam ayat lain, seperti kita sepatutnya “menangis dengan orang yang menangis,” dan “tanggung-menanggung beban satu sama lain” (Roma 12:15; Galatia 6:2).

Hari ini, ketika saya menghulurkan tangan untuk bersalam atau memegang senduk untuk menyediakan makanan bagi tetamu, jari manis dan jari kelingking saya masih terasa sakit. Bahagian-bahagian tubuh kita perlu bekerjasama, bukan sahaja untuk mengesan kesakitan, tetapi juga untuk saling menguatkan agar kembali sihat. Saya bersyukur kerana Tuhan menunjukkan pentingnya kita saling berhubung dalam tubuh rohani-Nya, iaitu gereja, melalui pengalaman “sakit simpati” ini.