Semasa serangan udara di London berlaku pada 29 Disember 1940, sebuah butir bom telah memusnahkan sebuah gudang berhampiran Katedral St. Paul. Apabila isteri Oswald Chambers, Biddy, menerima berita bahawa kesemua 40,000 salinan buku mendiang suaminya yang disimpan di situ telah termusnah—buku-buku yang telah disusun dan disunting olehnya, tetapi tidak dilindungi insurans—dia meletakkan cawan tehnya dan berkata kepada anak perempuannya, “Tuhan telah menggunakan buku-buku itu untuk kemuliaan-Nya, tapi sekarang ia sudah berakhir. Kita tunggu dan lihat apa yang akan dilakukan Tuhan selepas ini.”

Mungkin masa itu Biddy mengingati apa yang pernah ditulis oleh suaminya, Oswald, semasa permulaan Perang Dunia Pertama. Dia menulis bagaimana Yesus telah memberitahu murid-murid-Nya tentang “bahaya yang pasti akan datang,” supaya apabila perkara buruk berlaku, mereka tidak akan takut kerana Yesus ada bersama mereka.

Yesus berkata kepada sahabat-sahabat-Nya, “Di dalam dunia kamu akan menghadapi penderitaan; tetapi tegapkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia” (Yohanes 16:33). Dia mahu mereka kekal teguh dalam iman kepada Bapa-Nya, supaya mereka mampu bertahan dalam segala ujian dan cabaran yang akan datang.

Keyakinan Biddy kepada Tuhan membantunya untuk terus tabah, akhirnya buku-buku itu dicetak semula dan menjadi bahan bacaan klasik untuk generasi-generasi seterusnya. Kita juga boleh mendapat dorongan dan harapan dalam janji-janji Yesus bahawa Dia telah mengalahkan dunia. Kita tahu Dia tidak akan meninggalkan kita (Yohanes 14:18) dan akan memberikan sejahtera kepada kita (ayat 27), tidak kira apa pun yang kita hadapi.