Bagaimana Tuhan boleh ambil berat terhadap semua orang ini? Soalan itu terlintas di fikiran saya ketika saya melangkah keluar dari platform kereta api yang sibuk di sebuah bandar yang sesak, beribu-ribu kilometer dari rumah. Waktu itu saya masih remaja, dan ini adalah kali pertama saya melancong ke luar negara dan saya terharu dengan dunia yang begitu luas di sekeliling saya. Saya merasakan diri saya sangat kecil dan tertanya-tanya, bagaimana Tuhan boleh mengasihi begitu ramai orang?
Saya masih belum memahami betapa luasnya kasih Tuhan yang sempurna. Dalam Alkitab, nabi Yunus juga tidak dapat memahami hal ini. Ketika Yunus akhirnya taat kepada panggilan Tuhan untuk menyampaikan seruan supaya penduduk di kota Niniwe bertaubat, ibu kota Empayar Asyur yang kejam dan pernah menindas bangsa Israel, (bangsa Yunus sendiri), Yunus tidak mahu Tuhan mengampuni mereka. Namun, penduduk kota itu bertaubat, dan apabila Tuhan tidak membinasakan mereka, Yunus menjadi marah. Tuhan menyediakan tempat berteduh untuk Yunus melalui sepohon pokok yang tumbuh cepat, tetapi kemudian membuat pokok itu layu. Hal ini membuat Yunus semakin marah. Dia mengeluh, tetapi Tuhan menjawab, “Engkau sayang kepada pohon itu … jadi, tidak patutkah Aku menyayangi Niniwe, kota yang besar itu? Bukankah di dalamnya ada lebih daripada 120,000 orang? (Yunus 4:10-11).
Tuhan begitu agung sehingga Dia tetap mempedulikan dan mengasihi orang yang menjauhi Dia. Pengorbanan Yesus di salib dan kebangkitan-Nya adalah bukti kasih Tuhan yang sangat dalam, demi menyelamatkan kita daripada dosa dan memberi kita hidup yang kekal. Keagungan Tuhan terlihat melalui kebaikan-Nya. Dia ingin kita kembali kepada-Nya, hidup dekat dengan-Nya dalam hubungan yang penuh kasih.