Dalam Dictionary of Obscure Sorrows (Kamus untuk Kesedihan yang Sukar Dijelaskan), penulisnya John Koenig menawarkan koleksi perkataan baharu untuk perasaan rumit yang sebelum ini tiada ungkapannya. Kamus ini mengandungi perkataan seperti dés vu, yang bermaksud “kesedaran bahawa detik ini akan menjadi kenangan,” dan onism, “kecewa kerana terperangkap dalam satu tubuh yang hanya boleh berada di satu tempat pada satu masa.” Koenig berkata misinya adalah memberi penerangan tentang semua pengalaman pelik dan unik sebagai manusia, supaya orang tidak berasa keseorangan dalam pengalaman tersebut.
Walaupun kadangkala sukar bagi kita untuk mengungkapkan dengan kata apa yang sedang kita lalui, orang yang percaya kepada Yesus boleh berasa terhibur kerana Tuhan menghargai dan memahami apa rasanya menjadi manusia. Tuhan sangat menghargai manusia sehingga Dia mempercayakan kita untuk menjaga dunia ciptaan-Nya (Ibrani 2:7-8). Dan kerana Yesus, Tuhan memahami sepenuhnya bagaimana hidup sebagai manusia. Kristus ialah Tuhan yang menjadi manusia sepenuhnya, jadi kita semua adalah “saudara-saudara” Yesus (ayat 12).
Kristus bukan sahaja memahami segala godaan dan pengalaman kita (4:15), Dia juga telah mengalahkan “[kuasa] kematian” atas hidup kita (2:14). Kerana Dia, kita tidak perlu berasa takut atau keseorangan dengan apa yang kita lalui. Sebaliknya, kita dapat bersyukur atas anugerah Tuhan untuk menjadi manusia.