Louise, seorang pengurus projek, menyesal kerana menerima kerja bebas itu. Kedua-dua pihak, pelanggan dan pereka grafik benar-benar menguji kesabarannya. “Kenapa susah sangat?” dia tertanya-tanya. “Kenapa mereka ini tak boleh bekerjasama dengan baik?”

Beberapa minggu kemudian, semasa membaca Amsal 27, ayat 17 menarik perhatiannya—“besi menajamkan besi.” Louise berkongsi kepada kumpulan kecilnya: “Kita tidak dapat menajamkan sesuatu yang kasar dengan menggunakan bahan yang lembut, seperti sutera. Kita perlukan sesuatu yang keras, seperti besi.”

Louise mula sedar bahawa cabaran dalam projek itu sebenarnya sedang membentuk dirinya juga. Dia sedang belajar untuk lebih sabar, rendah diri, dan menyesuaikan diri dengan cara kerja yang berbeza. Dia menyedari bahawa Tuhan sedang menggunakan projek itu untuk menunjukkan kelemahan dirinya, dan mengajar dia cara untuk bekerjasama dengan orang lain.

Sebahagian besar kitab Amsal menekankan betapa pentingnya hikmat daripada Tuhan. Namun, hikmat itu bukan sesuatu yang datang dengan mudah. Kita perlu mencarinya dengan ketaatan dan kearifan (Amsal 3:13; 13:20; 19:20). Tambahan pula, hikmat itu sering dibentuk melalui pengalaman sukar, seperti logam yang dimurnikan dalam mangkuk pijar dan relau, atau bahan yang ditumbuk dalam lesung batu (Amsal 27:21-22)—situasi yang mungkin melibatkan kesakitan dan penderitaan sementara.

Namun, Alkitab juga mengingatkan kita bahawa cabaran hidup datang bersama ganjaran: Apabila kita bersungguh-sungguh mencari hikmat Tuhan dan taat kepada-Nya, kita akan memperoleh rasa aman, kepuasan, dan berkat sejati dalam hidup kita (ayat 26-27).