Hampir di penghujung novel sejarah, Brendan, karya Frederick Buechner, ada satu adegan yang sangat menyentuh hati. Watak bernama Gildas bangun dan menunjukkan bahawa sebelah kakinya, dari lutut ke bawah, telah tiada. Semasa dia cuba mencapai tongkatnya untuk berdiri, badannya tidak seimbang. Dengan cepat Brendan terus melompat dan menyambutnya sebelum dia terjatuh
Gildas berkata, “Aku cacat, sama dengan dunia yang gelap ini.” Jawab Brendan, “Kalau macam tu, siapa antara kita yang tidak cacat? “Saling menghulurkan tangan apabila kita terjatuh mungkin ialah perkara paling mulia yang boleh kita lakukan.”
Dalam 2 Samuel 9, kita membaca bahawa Raja Daud ingin menunjukkan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang masih hidup daripada keluarga Saul (ayat 1). Lalu disebutlah nama Mefiboset, “anak lelaki Yonatan yang tempang kedua-dua belah kakinya” (ayat 3). Mefiboset dibawa menghadap raja, dan mendengar kata-kata ini, “Aku akan mengembalikan kepadamu segala ladang Saul, datukmu, dan engkau akan selalu makan di mejaku” (ayat 7). Memang benar, sejak itu Mefiboset makan di meja raja setiap hari.
Alkitab penuh dengan kisah-kisah yang tidak dapat dilupakan tentang Daud melawan gergasi, tentang tentera, raja-raja dan kerajaan—seperti adegan filem yang epik. Namun, Alkitab juga mencatatkan kisah kebaikan kecil yang penuh makna—kisah tentang seseorang yang menghulurkan tangan kepada orang lain yang memerlukan.
Selepas semua perkara besar dan menakjubkan berlalu, mungkin kebaikan hati seperti yang ditunjukkan Daud kepada Mefiboset itulah yang paling bermakna pada akhirnya. Sikap memberi pertolongan adalah jenis amalan yang dapat kita lakukan setiap hari.