William Shatner, pelakon yang terkenal kerana peranannya dalam cerita sains fiksyen Star Trek, akhirnya benar-benar berpeluang pergi ke angkasa lepas pada tahun 2021. Apabila dia merenung kembali perjalanan itu, dia berkata bahawa semua jangkaannya tentang pengalaman itu adalah salah. Pada mulanya, dia menyangka bahawa ruang angkasa yang luas akan membuatnya berasa lebih dekat dengan semua makhluk di bumi, sebaliknya dia berasa sedih: Dia mendapati angkasa luar adalah gelap, dingin dan tiada makhluk hidup. Ini menimbulkan kesedaran baru dalam dirinya bahawa bumi ini adalah indah dan rapuh, oleh itu sangat berharga dan perlu dijaga.

Tidak ramai orang pernah pergi ke angkasa lepas untuk merasai pengalaman sedemikian secara langsung. Namun, catatan Alkitab tentang alam semesta mengajak kita untuk melihat karya penciptaan Tuhan melalui mata-Nya. Yang pertama, Alkitab merekodkan bahawa Tuhan menciptakan “langit dan bumi,” untuk mengatur apa yang “tidak berbentuk dan kosong,” dan “memisahkan cahaya itu daripada kegelapan” (Kejadian 1:1-2, 4). Kisah-kisah penciptaan seterusnya menerangkan segala perkara baik yang dijadikan Tuhan, termasuk tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan akhirnya manusia—yang diciptakan menurut gambaran dan rupa-Nya.

Walaupun seluruh ciptaan—termasuk angkasa lepas yang paling gelap dan jauh—menunjukkan kuasa dan keperkasaan Tuhan, kita telah diberikan pandangan istimewa tentang karya-Nya di bumi ini. Keindahan di sekeliling kita mengajak kita untuk menyembah Dia yang menciptakan semuanya.