Pada tahun 2010, hampir empat ribu orang yang percaya kepada Yesus telah berkumpul di Cape Town, Afrika Selatan. Para peserta dari 198 buah negara telah hadir dalam persidangan itu—satu perhimpunan yang dianggap sebagai pertemuan yang dihadiri oleh paling ramai wakil dari gereja Kristian dalam tempoh dua ribu tahun sejak Yesus hidup di bumi.

Akan tiba satu hari kelak apabila perhimpunan seperti itu tidak perlu lagi ada “wakil”, kerana semua orang percaya akan berkumpul bersama-sama. Dalam suatu penglihatan daripada Tuhan, rasul Yohanes menggambarkannya begini: “Kulihat lautan manusia, tidak terkira banyaknya, daripada segala bangsa, suku, kaum, dan bahasa, berjubah putih dan memegang daun palma. Mereka semua berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba. Mereka berseru dengan lantang, ‘Penyelamatan ada pada Allah kami yang bersemayam di atas takhta’” (Wahyu 7:9-10).

Gereja-gereja tempatan kita mungkin tidak selalu mencerminkan unsur kepelbagaian yang wujud dalam kerajaan kekal Tuhan. Kadang-kadang itu adalah berpunca daripada faktor-faktor yang di luar kawalan kita—kita mungkin lebih tertarik untuk beribadah dengan orang yang dianggap sama dengan kita dari segi budaya, generasi, politik dan ekonomi.

Tetapi kita menunjukkan penghormatan kepada Tuhan apabila kita menerima, bahkan berusaha untuk mencari perbezaan yang telah dikurniakan-Nya kepada anak-anak-Nya. Kepelbagaian ini menunjukkan gambaran awal tentang perhimpunan syurgawi, apabila semua orang yang percaya kepada pengorbanan Yesus akan menyembah Dia bersama-sama.