Gerbang Melengkung Grand Rapids (Grand Rapids Arch), iaitu sebuah karya seni oleh Andy Goldsworthy, terletak di tepi jalan dan kelihatan seolah-olah berjalan seiringan dengan para pejalan kaki. Gerbang ini yang setinggi 5.5 meter, dibina dengan menggunakan tiga puluh enam blok batu pasir Scotland tanpa menggunakan mortar mahupun pin logam. Batu-batunya tersusun menaik dan condong, malah setiap satunya berbeza bentuk dan dipotong khas untuk saling mengikat, dan semuanya bergantung sepenuhnya pada tekanan yang dihasilkan oleh batu utama berbentuk baji—batu di tengah-tengah atas. Batu inilah yang memegang keseluruhan struktur agar tetap utuh. Ia merupakan elemen penting—seperti batu penjuru dalam seni bina.

Arca itu mengingatkan saya tentang bagaimana Yesus menjadi “batu penjuru utama” bagi gereja-Nya yang berbilang bangsa (Efesus 2:20). Dahulu, bangsa-bangsa bukan Yahudi—semua orang yang bukan keturunan Israel—pernah “terasing daripada perhimpunan orang Israel dan daripada perjanjian Allah, tanpa harapan dan tanpa Tuhan di dunia ini” (ayat 12). Namun, Yesus telah “menyatukan kedua-dua pihak” dan “meruntuhkan dinding pemisah, iaitu perseteruan” (ayat 14). Dia menciptakan “seorang yang baru“ dan “mendamaikan kedua-duanya dengan Allah dalam satu tubuh melalui salib,” membuka jalan kepada semua orang untuk “dapat menghampiri Allah Bapa dengan satu Roh” (ayat 15-16, 18).

Kristus membina kita sebagai sebuah gereja yang “menjadi tempat kediaman Allah dalam Roh” (ayat 22). Dia mencipta setiap orang dengan unik, menghubungkan kita dengan Dia dan satu sama lain melalui Dia, serta berjalan bersama kita. Gereja disatukan oleh Yesus.